Arsenal undang bencana


ANDREY Arshavin mengakui kehilangan Cesc Fabregas dan Samir Nasri bakal membawa bencana kepada Arsenal.

Penyerang Russia, Arshavin yang dikenali dengan gaya menyerang tersendiri mendakwa kehilangan kedua-dua pemain tengah itu tiada galang gantinya.


Arshavin, menerusi wawancara bersama media Russia berkata, Arsenal terpaksa mempamerkan gaya permainan berbeza meskipun selepas berjaya mendapatkan Mikel Arteta.

“Buat masa ini, kehilangan Fabregas dan Nasri adalah satu bencana,” kata Arshavin.


“Ketika menyaksikan perlawanan menentang Udinese, saya berkata kepada Nicklas Bendtner bahawa ketika ini tiada siapa yang mampu membuat hantaran dengan baik kepada Robin van Persie atau sesiapa yang biasanya memanfaatkan kualiti penyerang lain.

“Dia tersenyum dan berkata: ‘Ya, satu-satunya pemain yang mungkin boleh menggantikan Cesc adalah Xavi.’

“Saya bangga dapat bermain dalam satu pasukan bersama Febregas memandangkan dia adalah seorang pemain bola bertaraf dunia.

“Bila ada orang mengatakan yang hilang bakal berganti, saya tidak setuju. Baik Aterta atau sesiapa saja yang menggantikan mereka yang meninggalkan pasukan ini, kami akan bermain bola sepak dengan cara berbeza, tidak seperti ketika bersama Cesc atau Samir,” katanya.

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger menjual Nasri dan Fabregas dengan jumlah �60 juta (RM288.9 juta) tetapi Arshavin percaya kelab itu gagal mendapatkan pengganti setaraf mereka.

Wenger membelanjakan hampir �40 juta (RM192.4 juta) musim ini tetapi gagal mendapatkan pemain berwibawa sebelum tamat musim perpindahan.

Arteta berpindah dari Everton, pemain tengah Yossi Benayoun dipinjamkan dari Chelsea, penyerang Korea Selatan Park Chu-young berpindah dari Monaco dan Arsenal membelanjakan �10 juta (RM48.1 juta) untuk mendapatkan pertahanan Jerman, Per Mertesacker dan �6 juta (RM28.8 juta) untuk membeli bek kiri Brazil, Andre Santos.

Arshavin percaya kekalahan teruk Arsenal di tangan Manchester United, 8-2 memaksa Wenger membuat pembelian panik.

“Sudah pasti kelab berbelanja untuk perpindahan pemain tetapi saya fikir kekalahan 8-2 mempercepatkan kerja mereka.

“Saya tahu sedikit sebanyak mengenai Mertesacker, dia adalah seorang pertahanan yang bagus dan sudah pasti akan membantu kami. Saya tidak tahu mengenai Andre Santos selain beraksi buat Brazil tetapi ia sudah cukup membuktikan kewibawaannya.

“Arteta dan Benayoun sudah membuktikan kehebatan mereka dalam Liga Perdana Inggeris dan bukan pengambilan yang tidak berbaloi. Kami juga perlu mengukuhkan posisi berkenaan.

“Mungkin kami perlukan seorang lain pemain tengah dan apa yang saya ketahui, kami mencuba hingga ke saat akhir bagi mendapatkan M’Vila tetapi malang, kami gagal membelinya.

“Berdasarkan kuantiti dan kualiti pemain baru, bola sepak Arsenal akan mengalami beberapa perubahan,” katanya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Wanita-wanita Perindu Syurga

Respon PMRAM Terhadap Spekulasi Kristian Menjadi Agama Rasmi

Adab tidur elak mengigau