Bulan Rejab, Antara Islam dan Jahiliyah
Perkataan Rejab terdiri daripada huruf Ra Jim Ba. Gabungan tiga huruf bermaksud menyokong sesuatu atau menguatkan sesuatu. Dikatakan masyarakat Arab menamakan bulan tersebut sebagai Rejab kerana pada masa itu mereka membuat sokongan pada pokok-pokok kurma yang hampir tumbang. Mereka memuliakan bulan ini dengan beberapa cara. Antaranya:
- Diharamkan berperang pada bulan tersebut.
- Melakukan sembelihan binatang ternakan yang dinamakan "Athirah".
Perkataan Rejab tidak terdapat di dalam Al-Quran. Al-Quran hanya menyebut
bulan-bulan haram tanpa menjelaskan secara khusus apakah yang dimaksudkan
dengan bulan-bulan tersebut.
Firman Allah SWT:
{إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ
اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ
وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ فَلَا
تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا
يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ}
[التوبة: 36]
Maksud : Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah SWT
ialah dua belas bulan (yang ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan
langit dan bumi di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang
demikian itu adalah agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu
dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya) dan perangilah
kaum Kafir Musyrik semuanya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya.
Sesungguhnya Allah bersama-sama dengan orang yang bertaqwa. [At-Taubah:
36]
Faedah Ayat
- Bulan-bulan Islam itu adalah bulan yang diiktiraf di dalam syariat Islam sebagai penanda masa bagi ibadah. Misalnya penanda masa bagi puasa yang merupakan rukun Islam yang ke-2 adalah bulan Ramadan.
- Dalam 12 bulan Islam, terdapat pula empat bulan yang disebut sebagai bulan haram. Haram di dalam ayat di atas bermaksud ia perlu dihormati.
- Allah SWT melarang melakukan sebarang bentuk kezaliman pada bulan-bulan haram. Hal ini bukan bermakna kezaliman itu boleh dilakukan pada bulan-bulan selain bulan haram. Ia tetap dilarang tetapi penekanan khusus diberikan pada bulan-bulan haram sebagai tanda memuliakannya.
Allah SWT
berfirman:
{الشَّهْرُ الْحَرَامُ بِالشَّهْرِ
الْحَرَامِ وَالْحُرُمَاتُ قِصَاصٌ فَمَنِ اعْتَدَى عَلَيْكُمْ فَاعْتَدُوا
عَلَيْهِ بِمِثْلِ مَا اعْتَدَى عَلَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعْلَمُوا أَنَّ
اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ} [البقرة: 194]
194. (Mencabuli) bulan yang dihormati itu ialah dengan (sebab membalas
pencabulan dalam) bulan yang dihormati; dan tiap-tiap perkara yang dihormati
itu (jika dicabuli), ada balasannya yang seimbang. Oleh itu sesiapa yang
melakukan pencerobohan terhadap kamu maka balaslah pencerobohannya itu seimbang
dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu; dan bertaqwalah kamu kepada
Allah serta ketahuilah, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.
Firman Allah SWT:
{يَسْأَلُونَكَ عَنِ الشَّهْرِ
الْحَرَامِ قِتَالٍ فِيهِ قُلْ قِتَالٌ فِيهِ كَبِيرٌ } [البقرة: 217]
217. Mereka bertanya kepadamu
(Wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati;
katakanlah: "Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar”
Allah SWT berfirman:
{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا
تُحِلُّوا شَعَائِرَ اللَّهِ وَلَا الشَّهْرَ الْحَرَامَ وَلَا الْهَدْيَ وَلَا
الْقَلَائِدَ وَلَا آمِّينَ الْبَيْتَ الْحَرَامَ يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِنْ
رَبِّهِمْ وَرِضْوَانًا} [المائدة: 2]
2. Wahai orang-orang yang beriman,
janganlah kamu ingat halal membuat sesuka hati mengenai syiar-syiar agama Allah,
dan mengenai bulan-bulan yang dihormati, dan mengenai binatang-binatang yang
dihadiahkan (ke Mekah untuk korban), dan mengenai kalong-kalong binatang hadiah
itu, dan mengenai orang-orang yang menuju ke Baitullah Al-Haram, yang bertujuan
mencari limpah kurnia dari Tuhan mereka (dengan jalan perniagaan) dan mencari
keredaanNya (dengan mengerjakan Ibadat Haji di tanah Suci).
Sabda
Rasulullah SAW:
الزَّمَانُ قد اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يوم خَلَقَ الله السماوات وَالْأَرْضَ
السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا منها أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ثَلَاثَةٌ مُتَوَالِيَاتٌ
ذُو الْقَعْدَةِ وَذُو الْحِجَّةِ وَالْمُحَرَّمُ وَرَجَبُ مُضَرَ الذي بين
جُمَادَى وَشَعْبَانَ
Maksud : Masa itu telah kembali semula seperti asal ketika Allah SWT
menjadikan langit dan bumi. Setahun itu mangandungi dua belas bulan. Daripadanya
terdapat empat bulan haram. Tiga daripada empat bulan tersebut adalah
berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram. Sementara bulan Rejab
umpama kabilah Mudhar yang berada di antara bulan Jumadal Akhirah (Jamadil
Akhir) dan Syaaban.
[Sohih
Bukhari, Kitab Permulaan Kejadian, Bab Tentang Tujuh Lapisan Bumi, Jilid:3,
m/s:1168, no:30265]
Hadis di atas menjelaskan maksud bulan-bulan haram yang disebut di dalam
Al-Quran secara umum iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab.
Hukum Berkaitan Bulan Rejab
Perang
Menurut kepercayaan masyarakat Arab Jahiliah, tidak boleh diadakan sebarang
peperangan sepanjang bulan Rejab dan bulan-bulan haram yang lain. Setelah
kedatangan Islam, hukum ini dikekalkan. Allah SWT berfirman:
{يَسْأَلُونَكَ عَنِ الشَّهْرِ
الْحَرَامِ قِتَالٍ فِيهِ قُلْ قِتَالٌ فِيهِ كَبِيرٌ } [البقرة: 217]
217. Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad), mengenai (hukum)
berperang dalam bulan yang dihormati; katakanlah: "Peperangan dalam bulan
itu adalah berdosa besar
Kemudian larangan ini dinasakhkan dengan akhir ayat yang ke-36 daripada
surah at-Taubah. Ini adalah pendapat jumhur ulama'. Sebahagian ulama'
berpendapat larangan perang di bulan haram masih lagi kekal tetapi tidak
menjadi masalah bagi umat Islam untuk mempertahankan kesucian bulan-bulan haram
itu dengan mengadakan peperangan jika ia dimulakan terlebih dahulu oleh pihak
musuh.
Allah SWT berfirman:
{الشَّهْرُ الْحَرَامُ بِالشَّهْرِ
الْحَرَامِ وَالْحُرُمَاتُ قِصَاصٌ فَمَنِ اعْتَدَى عَلَيْكُمْ فَاعْتَدُوا
عَلَيْهِ بِمِثْلِ مَا اعْتَدَى عَلَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعْلَمُوا أَنَّ
اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ} [البقرة: 194]
194. (Mencabuli) bulan yang dihormati itu ialah dengan (sebab membalas
pencabulan dalam) bulan yang dihormati; dan tiap-tiap perkara yang dihormati
itu (jika dicabuli), ada balasannya yang seimbang. Oleh itu sesiapa yang
melakukan pencerobohan terhadap kamu maka balaslah pencerobohannya itu seimbang
dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu; dan bertaqwalah kamu kepada
Allah serta ketahuilah, sesungguhnya Allah beserta orang-orang Yang bertaqwa.
Puasa
Tiada nas yang sohih menyatakan hukum tentang puasa Rejab secara khusus sama
ada yang menunjukan sunat atau laragan. Terdapat hadis yang melarang berpuasa
pada bulan Rejab namun ulama' menilaikannya sebagai lemah. Begitu juga terdapat
hadis-hadis yang menggalakkan puasa sunat di bulan Rejab. Namun ia dinilaikan
oleh ulama sebagai sangat lemah. Sebahagian ulama' berpendapat hukum berpuasa
pada bulan Rejab itu adalah sunat berdasarkan hadis yang menggalakkan puasa
pada bulan-bulan haram.
عن مُجِيبَةَ الْبَاهِلِيَّةِ عن أَبِيهَا أو عَمِّهَا أَنَّهُ أتى رَسُولَ
اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ثُمَّ انْطَلَقَ فَأَتَاهُ بَعْدَ سَنَةٍ وقد
تَغَيَّرَتْ حالته وَهَيْئَتُهُ فقال يا رَسُولَ اللَّهِ أَمَا تَعْرِفُنِي قال
وَمَنْ أنتَ قال أنا الْبَاهِلِيُّ الذي جِئْتُكَ عَامَ الْأَوَّلِ قال فما
غَيَّرَكَ وقد كُنْتَ حَسَنَ الْهَيْئَةِ قال ما أَكَلْتُ طَعَامًا إلا بِلَيْلٍ
مُنْذُ فَارَقْتُكَ فقال رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم لِمَ عَذَّبْتَ نَفْسَكَ
ثُمَّ قال صُمْ شَهْرَ الصَّبْرِ وَيَوْمًا من كل شَهْرٍ قال زِدْنِي فإن بِي
قُوَّةً قال صُمْ يَوْمَيْنِ قال زِدْنِي قال صُمْ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ قال زِدْنِي
قال صُمْ من الْحُرُمِ وَاتْرُكْ صُمْ من الْحُرُمِ وَاتْرُكْ صُمْ من الْحُرُمِ
وَاتْرُكْ وقال بِأَصَابِعِهِ الثَّلَاثَةِ فَضَمَّهَا ثُمَّ أَرْسَلَهَا
Maksud : Daripada Mujibah al-Bahiliyah, bapanya atau bapa saudaranya
menemui Rasulullah SAW kemudian beliau pulang ke kampungnya. Setelah setahun
berlalu, beliau menemui Rasulullah SAW semula dalam keadaan dirinya yang
berbeza daripada sebelumnya. Lalu beliau berkata: Wahai Rasulullah! masihkah
engkau mengenaliku? Rasulullah SAW bertanya: Siapakah kamu? Beliau berkata:
Akulah orang yang datang menemuimu tahun lalu. Rasulullah bersabda: Apakah yang
menyebabkan keadaanmu berubah, sedangkan sebelum ini kamu kelihatan segak?
Beliau berkata: aku tidak menjamah makanan melainkan pada waktu malam sejak aku
meninggalkanmu tahun lalu. Rasulullah SAW bersabda: Kenapa kamu menyiksa dirimu?
Puasalah hanya di bulan Ramadhan dan satu hari pada setiap bulan. Kemudian
beliau berkata: Tambahlah lagi wahai Rasulullah. Sesungguhnya aku mampu.
Rasulullah menjawab: Puasalah dua hari dalam sebulan. Lalu dia berkata lagi:
Tambahlah lagi wahai Rasulullah. Rasulullah SAW menjawab: Puasalah tiga hari.
Dia berkata: Tambahlah lagi. Nabi bersabda: Puasalah pada hari-hari daripada
bulan-bulan haram dan tinggalkan sebahagian daripadanya. (Nabi mengulangi
sebanyak tiga kali).- [Sunan Abu Daud, Kitab Puasa Bab Puasa Pada
Bulan-bulan Haram, Jilid:2, m/s:322, no:2428]
Hadis ini mempunyai sedikit masalah pada sanadnya. Namun ia merupakan hadis
yang paling kuat dalam menyatakan sunat berpuasa pada bulan Rejab di samping
bulan-bulan haram yang lain.
Oleh sebab bulan Rejab salah satu daripada bulan haram yang diberkati oleh
Allah, maka amalan yang dilakukan padanya sudah tentulah mempunyai kelebihan
khusus berbanding bulan-bulan biasa. Begitu juga kejahatan yang dilakukan
padanya lebih berat berbanding dengan kejahatan yang dilakukan pada bulan-bulan
biasa. Inilah yang difahami daripada larangan yang terkandung di dalam firman
Allah SWT yang berbunyi:
فَلَا
تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ
Maka janganlah kamu menganiayai diri kamu dalam bulan-bulan haram (dengan melanggar larangan-Nya) [at-Taubah: 36]
Oleh itu,
sebahagian ulama' berpendapat digalakkan melakukan amal soleh pada bulan Rejab
dan bulan-bulan haram yang lain seperti puasa, solat, sedekah dan seumpamanya.
Sembelihan
Antara budaya masyarakat Arab Jahiliah ialah mempersembahkan korban berupa
haiwan ternakan kepada berhala-berhala mereka. Korban ini dinamakan 'Athirah'.
Setelah kedatangan Islam, amalan ini diharamkan sama sekali. Rasulullah SAW
bersabda :
لَا فَرَعَ ولا
عَتِيرَةَ
Maksud: Tiada sembelihan "Faraak" yang dibenarkan, begitu juga
sembelihan "Athirah".
[Sohih Bukhari, Kitab Aqiqah, Bab Athirah, Jilid:5, m/s:2083, no:5257]
Farak ialah sembelihan yang dipersembahkan kepada berhala apabila unta yang
diternak oleh seseorang itu memperolehi anak yang pertama.
Athirah pula ialah sembelihan yang dilakukan pada bulan Rejab. Ia juga
dinamakan sebagai Rajabiyyah.
Dua jenis sembelihan ini telah dihapuskan oleh Islam. Namun menurut setengah ulama' hanya sembelihan yang
dipersembahkan kepada berhala dan dengan anggapan wajib sahaja yang dibatalkan
oleh Islam. Oleh itu, mereka berpendapat sembelihan "Athirah" itu
hukumnya digalakkan sahaja. Hal ini selagimana ia tidak terikat dengan
kepercayaan dan sembahan berhala, maka mana-mana yang disembelih kerana Allah,
maka halal sembelihannya.
Berdasarkan kepada hadis daripada Nubaisyah, mereka (para sahabat) bertanya
kepada Nabi SAW berkenaan dengan sembelihan athirah sejak zaman jahiliyah iaitu
sembelihan dalam bulan Rejab. Lalu Nabi SAW menjawab :
اذْبِحُوا لله فِي أَيِّ شَهْرٍ كان وَبِرُّوا الله وَأَطْعِمُوا
“Sembelihlah niat kerana Allah
pada mana-mana bulan sekalipun, dan lakukan kebaikan kepada Allah dan berilah
makan (kepada manusia lain)” – Abu Daud no
2830, An-Nasai no 4233
Ibu Abbad RA menyatakan bahawa makruh menjadikan bulan Rejab sebagai
perayaan (iaitu berkaitan sembelihan athirah pada bulan Rejab,yang memberikan
maksud sembelihan tersebut sebagai sebuah perayaan). – Kitab Latoif Al-Maarif,
cetakan Al-Maktab Al-Islami, m/s 212
Justeru, sebahagian ulama yang menyatakan tidak mengapa melakukan
sembelihan ialah apabila tidak terikat dengan kepercayaan iaitu sembelihan
adalah niat kepada Allah, dan sembelihan tersebut bukan ada apa-apa kaitan
dengan perayaan sebagaimana pada zaman jahiliyah.
Antara Peristiwa-Peristiwa
Penting Sepanjang Bulan Rejab
- Perang Tabuk tahun ke-9 Hijriah
- Perang Yarmuk tahun ke15 Hijriah
- Kemasukan awal Tariq bin Ziyad ke bumi Andalus pada tahun ke-97 Hijriah
- Pembukaan kali ke-2 Baitul Maqdis oleh Solahuddin Al-Ayubi (hari Jumaat 27 Rajab 583 Hijrah)
- Isra' Mikraj pada 27 Rejab (pendapat yang masyhur. Pendapat ini dipegang oleh Imam Ibnu Hajar)
- Pensyariatan solat (ketika peristiwa Isra’ Mikraj pada 27 Rejab)
Wallahu a’lam
Disediakan
oleh:
Rabiatul Adawiyah Shamsudin
Felo MANHAL
PMRAM 2012
Rujukan
- Al-Quran al-Karim
- Sohih Bukhari, Dar Ibn Kahtir
- Sohih Muslim, Dar Ihya' Turath al-Arabiy
- Sunan Abu Daud, Dar al-Fikr
- Syarah an-Nawawi ala Sohih Muslim, Dar Ihya' Turath al-Arabiy
- Mu'jam Maqayis al-Lughah, Dar al-Jil
- Maktabah as-Syamilah
- Mizan al-I'tidal, Dar al-Kutub al-A'lamiah
- Kasyfu al-Khafa', Muassasah ar-Risalah
- al-Misbah al-Munir, Maktabah al-A'lamiah
Rujukan tambahan :
1- Al-Fiqh Al-Islami Wa
Adillatuh, jilid pertama, oleh Dr Wahbah Az-Zuhaily, cetakan Dar Al-Fikr
2- Latoif Al-Ma’arif,
oleh Imam Ahmad bin Rajab Al-Hanbali, cetakan Al-Maktab Al-Islamihttp://www.manhal.pmram.org
Ulasan
Catat Ulasan